Monday 5 September 2011

HIKMAH SESUATU KEJADIAN BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

Jika  setiap  manusia  sentiasa  memikirkan  hikmah  dan  kebaikan  yang  tersembunyi  di  sebalik  sesuatu  kejadian  di  muka  bumi  ini.  Nescaya,  manusia  akan  lebih  bersyukur,  bermuhasabah  dan  sentiasa  menginsafi  kelemahan  diri  sebagai  seorang  hamba  yang  kerdil  lagi  kurang  upaya.  Mari  kita  sama-sama renungkan  hikmah  dan  betapa  istimewanya  penciptaaan  seekor  lalat.
Seperti  yang  kita  semua  maklum,  lalat  merupakan  sejenis  serangga  yang  dikenali  sebagai  serangga  perosak  dan  vektor  penyakit  kepada  manusia.  Lalat  juga  sering  dipandang  hina,  jijik  dan  boleh  dibunuh  sesuka  hati  tanpa  timbul  sedikit  pun  rasa  bersalah  serta  belas  kasihan  dalam  diri manusia  itu  sendiri.  Keluhan  demi  keluhan  dan  sumpah  seranah  sering kita  dengar  terhambur  keluar  daripada  mulut-mulut  manusia  berkaitan  serangga  ini  tidak  kira  saban  waktu.  Tapi  pernahkah  kita  terfikir  akan  hikmah  penciptaan  serangga  ini  kepada  manusia  dan  hidupan  lain  di  muka  bumi  ini?  Oleh  itu,  apa  kita  semua  berfikir  sejenak  akan  hikmah  kejadian  serangga  kecil  ini.
Antara  manfaat  lalat  kepada  manusia  adalah  lalat  sebagai  penanda  aras  tahap  kebersihan  sesuatu  tempat.  Lalat  memang  suka  akan  tempat  bersepah  dengan  sisa  makanan  yang  tidak  diuruskan  dengan  sistematik.  Serangga  ini  merupakan  ‘pengawas’  daripada  Allah  yang  memberi  amaran  dan  ancaman  supaya  manusia  sentiasa  cakna  kepada  kebersihan.  Maka  apa  salah  lalat  kalau  mereka  datang  tanpa  diundang?  Bukankah  kerana  sikap  manusia  sendiri  yang  tidak  mementingkan  kebersihan  lalu  menarik  kehadiran  lalat?  Bak  kata  pepatah,  kalau  bukan  kerana  angin,  masakan  pokok  bergoyang.
Tambahan  pula,  lalat  dalam  bentuk  larva  amat  berguna  untuk  merawat  luka-luka  bernanah  pada  abad  ke-16.  Pakar  bedah  pada  zaman  Napoleon,  Larrey  mendapati  kesembuhan  luka  cepat  berlaku  apabila  larva  dicelup  dalam  kawasan  luka  tersebut.  M.A.  Stewart  pada  tahun  1934,  mendapati  larva  ketika  dicelupkan  ke  dalam  luka,  mengeluarkan  bahan  ammonia  dan  kalsium  karbonat  yang  menjadikan  luka  tersebut  alkali.  Ketika  keadaan  alkali  ini  berlaku,  kuman-kuman  dapat  dibunuh  di  samping  meredakan  bengkak  serta  mencegah  kematian  sel-sel.
Selain  itu,lalat  merupakan  ciptaan  yang  unik  kerana  lalat  adalah  punca  utama  dan  penawar  kepada  sesuatu  penyakit.  Renungkan  sabda  Nabi  Muhammad  yang  bermaksud:
Apabila  lalat  terjatuh  ke  dalam  bekas  minuman  salah  seorang  di  antara  kamu,  celuplah  dan  kemudian  buanglah  ia  kerana  pada  sebelah  sayapnya  mengandungi  penawar  dan  di  sebelah  sayapnya  yang  lain  mempunyai  penyakit.  (Hadis  riwayat  Bukhari,  Imam  Ahmad,  Abu  Daud  dan  Ibnu  Majah).
Sebagai  contoh,  lalat  merupakan  punca  utama  demam  kepialu  kepada  tentera-tentera  Amerika  semasa  berperang  dengan  Sepanyol  pada  tahun  1898.  Maka  kita  akan  bertanya,  di  mana  logik  akal  yang  dikatakan  oleh  Rasulullah  S.A.W.  bahawa  lalat  sebagai  penawar  kepada  sesuatu  penyakit.  Pada  tahun  1927  dan  1938,  kajian  mendapati  terdapat  sejenis  kuman  bernama  Bacteriophage  dalam  badan  lalat  dari  spesies  Musca  Domestica  yang  mampu  membunuh  kuman-kuman  penyebab  kepada  penyakit  cirit-birit  dan  demam  kepialu.  Nah!  Rasulullah  S.A.W.  dalam  hadis  ini  menyebutkan  berkenaan  rahsia  lalat  dalam  konteks  perubatan  dan  ahli-ahli  sains  membuktikan  kebenarannya  pada  hari  ini.
Konklusinya,  kita  haruslah  sentiasa  berfikir  secara  positif  terhadap  sesuatu  kejadian  di  muka  bumi  ini.  Fikirkanlah  hikmah-hikmah  yang  tersembunyi  di  sebalik  ciptaan  Allah,  dari  sekecil-kecil  lalat  hinggalah  sebesar-besar  gajah.
Wallahua’lam.
Sebuah  video  yang  patut  dilihat  untuk  mengetahui  hikmah  yang  tersembunyi  daripada  satu  ciptaan  Allah  iaitu  lalat.

No comments:

Post a Comment