Monday 12 September 2011

Segala puji hanyalah bagi Allah Y tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad r Imam para rasul, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya sekalian.
Islam ialah penyaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Y dan Muhammad r itu adalah pesuruhNya, penyaksian yang diakui dengan hati dan disebut dengan lidah serta dibuktikan oleh anggota badan. Agama ini mengandungi enam rukun Iman dan lima rukun Islam serta Ihsan dalam melaksanakan rukun-rukun tersebut. Ia diturunkan oleh Allah Y kepada rasulNya Muhammad bin Abdullah sebagai penutup bagi semua risalah ketuhanan. Ia adalah satu agama yang benar. Allah tidak menerima seseorang itu beragama melainkan Islam. Allah Y telah menjadikan Islam satu agama yang mudah, tidak susah dan tidak membebankan ke atas penganutnya dengan sesuatu yang di luar kemampuan dan keupayaan mereka. Ia satu agama yang berasaskan kepada tauhid, bersimbolkan kebenaran, berpaksikan keadilan dan berteraskan sifat rahmat ke atas sekalian alam. Ia adalah agama yang memberi petunjuk kepada sekalian hamba terhadap semua perkara yang bermanfaat kepada mereka di dalam urusan agama dan dunia, dan mengingatkan mereka daripada sesuatu yang memudharatkan dalam perkara agama dan kehidupan. Satu agama yang memperbetulkan akidah, akhlak dan kehidupan dunia dan akhirat. Agama yang menyatukan hati-hati yang berpecah-belah lalu membersihkannya daripada kebatilan, membawanya kepada kebenaran dan memberikannya petunjuk kepada jalan yang lurus.
Islamlah agama yang sebenarnya, segala yang disampaikan adalah benar, tidak menghukum melainkan dengan kebaikan dan keadilan yang berprinsipkan kepercayaan yang sahih, amalan yang benar, akhlak yang mulia dan adab yang terpuji.
Risalah Islam bertujuan untuk mencapai perkara-perkara berikut :
1. Memberi pengenalan kepada manusia tentang tuhan dan pencipta mereka melalui nama-namaNya yang indah yang tiada bandingannya, sifat-sifatNya yang tertinggi yang tidak menyerupai sesuatu pun, perbuatanNya yang sempurna dan penuh hikmah yang tiada sekutu dengannya dan tentang hakNya yang tiada sekutu baginya.
2. Mengajak manusia menyembah Allah Yang Maha Esa tanpa mempersekutukan- Nya dengan melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang.
3. Memberi peringatan tentang keadaan dan tempat kembali mereka selepas mati, apa yang akan mereka hadapi di alam kubur, tentang hari kebangkitan dan perkiraan amalan serta penentuan mereka sama ada ke syurga atau neraka.

IKHLAS BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

Jika setiap muslim mentaati Allah dan Rasul melebihi segala-galanya. Bayangkan jika setiap muslim sentiasa bertawa kepada Allah, nescaya kemungkaran dan kejahatan di dunia ini tidak akan wujud sama sekali dalam kalangan umat Islam. Muslim yang bertakwa akan sentiasa menjaga perilakunya setiap masa.

ISLAM yang menjadi pegangan pada dasarnya mengungkap makna kepatuhan dan ketundukan secara menyeluruh kepada Allah. Justeru, Islam dalam kerangka pengertian itu tidak akan dapat dicapai tanpa dimulai sifat keikhlasan iaitu penyerahan diri sepenuhnya ke hadrat Ilahi. 

Firman Allah bermaksud: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah, ayat 5) 

Sifat ikhlas antara sifat terpuji menghiasi peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah dan keikhlasan menjadi asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan itu diterima-Nya ataupun sebaliknya. Keikhlasan menjadi penentu kejayaan atau kebahagiaan Muslim di dunia dan akhirat.

Jika diteliti rangkaian ayat suci al-Quran, keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi Muslim bertakwa. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 2) 

Menurut ulama, ikhlas bermaksud safa' iaitu suci bersih lagi bening. Safa' al-qalb iaitu suci dan bersih hatinya kerana orang yang ikhlas adalah seorang yang amat bersih lagi suci hatinya. 

Imam al-Ghazali menegaskan, ikhlas itu niat yang benar ketika melaksanakan sesuatu amalan. Setiap amalan salih dan kebajikan yang hendak dilakukan sewajibnya berorientasikan kerana Allah. 

Tanpa keikhlasan, semua amalan kebajikan dilakukan amat mudah terkena penyakit hati yang berbahaya iaitu riak dan ujub. Seorang yang ikhlas sebenarnya adalah insan dilindungi Allah daripada penyakit hati itu. 

Sehubungan itu, Rasulullah ada memberi peringatan kepada umat Islam supaya menjauhi perkara yang boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah seperti riak, ujub dan sombong hinggakan pada satu ketika Rasulullah menganggap riak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.
 



SIKAP BERTANGGUH BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...


Jika setiap manusia tidak mengamalkan sikap suka bertangguh.Kebiasaannya, sikap ini sering wujud dalam diri pelajar. Tidak kira pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi awam mahupun pelajar institusi pengajian tinggi swasta. Sikap ini wujud kerana kurangnya kesedaran dan moral dalam diri individu itu sendiri. Tabiat bertangguh atau menunda suatu kerja tugasan sehingga saat terakhir akan menjadi satu masalah besar dalam kerjaya dan hidup kita. Sikap ini berpunca daripada beberapa faktor.  Antara faktor tabiat ini ialah:
·         Stress atau tekanan- Apabila kita rasa stres, tertekan, runsing atau risau, adalah memang sukar untuk bekerja dengan produktif. Dalam situasi-situasi tertentu, bertangguh menjadi satu mekanisma untuk mengekalkan tahap stres atau tekanan untuk kita berada dalam kawalan.
        Terlampau banyak kerja- Adakalanya kita ada terlampau banyak tugasan atau kerja yang perlu diselesaikan daripada apa yang boleh dibuat. Ini akan menyebabkan kita rasa terlalu banyak kerja, terlampau banyak sehingga melimpah-limpah, dan yang peliknya kita akan lebih berkemungkinan untuk bertangguh apabila kita rasa sudah tidak mampu melakukannya.
·         Rasa malas- Kerap kali kita bertangguh kerana kita merasakan kita terlalu penat secara emosinya atau fizikalnya untuk membuat sesuatu kerja. Apabila kita terjatuh ke dalam keadaan ini, ianya senang untuk kita terus begini kerana tiadanya lonjakan untuk mendorong kita melakukan sesuatu.
·         Kurang motivasi- Selagi kita tidak menemui tujuan hidup yang memberikan inspirasi, kita tidak akan mencapai potensi diri yang sebenar, motivasi dan semangat kita akan sentiasa lemah.
·         Kurang disiplin- Walau ketika semangat kita sedang tinggi, kita mungkin masih berdepan dengan tugas yang kita tidak mahu lakukan. Jika disiplin diri lemah, menangguhkan kerja itu menjadi sesuatu yang sukar untuk ditolak.
·         Pengurusan masa yang tidak sistematik- Pernahkah terasa ketinggalan kerana selalu terlajak tidur, kerana begitu tidak terurus, atau kerana tugas-tugas tertentu yang tidak terlaksana dan terbiar begitu sahaja? Tabiat-tabiat buruk seperti ini biasanya akan menjurus ke arah sikap bertangguh, kebiasaanya tanpa sengaja.

·         Kurang kemahiranJika anda kurang kemahiran untuk menyiapkan suatu tugas pada tahap kualiti tertentu, anda mungkin bertangguh untuk mengelakkan diri dari mengalami kegagalan. 
·         Terlalu inginkan kesempurnaan- Satu bentuk biasa kesilapan pemikiran yang membawa kepada sikap suka bertangguh ialah terlalu mahukan kesempurnaan. Percaya bahawa anda perlu membuat sesuatu dengan sempurna adalah satu resepi untuk tekanan, dan anda akan mengaitkan tekanan dengan tugas itu dan ini membuatkan diri anda mengelak dari melakukannya. Maka anda pun tangguhkan dulu tugasan itu sehinggalah ke saat-saat akhir sehingga anda akhirnya mendapat cara yang sesuai untuk melakukan tugas ini.


  
Wallahua’lam. 

Monday 5 September 2011

HIKMAH SESUATU KEJADIAN BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

Jika  setiap  manusia  sentiasa  memikirkan  hikmah  dan  kebaikan  yang  tersembunyi  di  sebalik  sesuatu  kejadian  di  muka  bumi  ini.  Nescaya,  manusia  akan  lebih  bersyukur,  bermuhasabah  dan  sentiasa  menginsafi  kelemahan  diri  sebagai  seorang  hamba  yang  kerdil  lagi  kurang  upaya.  Mari  kita  sama-sama renungkan  hikmah  dan  betapa  istimewanya  penciptaaan  seekor  lalat.
Seperti  yang  kita  semua  maklum,  lalat  merupakan  sejenis  serangga  yang  dikenali  sebagai  serangga  perosak  dan  vektor  penyakit  kepada  manusia.  Lalat  juga  sering  dipandang  hina,  jijik  dan  boleh  dibunuh  sesuka  hati  tanpa  timbul  sedikit  pun  rasa  bersalah  serta  belas  kasihan  dalam  diri manusia  itu  sendiri.  Keluhan  demi  keluhan  dan  sumpah  seranah  sering kita  dengar  terhambur  keluar  daripada  mulut-mulut  manusia  berkaitan  serangga  ini  tidak  kira  saban  waktu.  Tapi  pernahkah  kita  terfikir  akan  hikmah  penciptaan  serangga  ini  kepada  manusia  dan  hidupan  lain  di  muka  bumi  ini?  Oleh  itu,  apa  kita  semua  berfikir  sejenak  akan  hikmah  kejadian  serangga  kecil  ini.
Antara  manfaat  lalat  kepada  manusia  adalah  lalat  sebagai  penanda  aras  tahap  kebersihan  sesuatu  tempat.  Lalat  memang  suka  akan  tempat  bersepah  dengan  sisa  makanan  yang  tidak  diuruskan  dengan  sistematik.  Serangga  ini  merupakan  ‘pengawas’  daripada  Allah  yang  memberi  amaran  dan  ancaman  supaya  manusia  sentiasa  cakna  kepada  kebersihan.  Maka  apa  salah  lalat  kalau  mereka  datang  tanpa  diundang?  Bukankah  kerana  sikap  manusia  sendiri  yang  tidak  mementingkan  kebersihan  lalu  menarik  kehadiran  lalat?  Bak  kata  pepatah,  kalau  bukan  kerana  angin,  masakan  pokok  bergoyang.
Tambahan  pula,  lalat  dalam  bentuk  larva  amat  berguna  untuk  merawat  luka-luka  bernanah  pada  abad  ke-16.  Pakar  bedah  pada  zaman  Napoleon,  Larrey  mendapati  kesembuhan  luka  cepat  berlaku  apabila  larva  dicelup  dalam  kawasan  luka  tersebut.  M.A.  Stewart  pada  tahun  1934,  mendapati  larva  ketika  dicelupkan  ke  dalam  luka,  mengeluarkan  bahan  ammonia  dan  kalsium  karbonat  yang  menjadikan  luka  tersebut  alkali.  Ketika  keadaan  alkali  ini  berlaku,  kuman-kuman  dapat  dibunuh  di  samping  meredakan  bengkak  serta  mencegah  kematian  sel-sel.
Selain  itu,lalat  merupakan  ciptaan  yang  unik  kerana  lalat  adalah  punca  utama  dan  penawar  kepada  sesuatu  penyakit.  Renungkan  sabda  Nabi  Muhammad  yang  bermaksud:
Apabila  lalat  terjatuh  ke  dalam  bekas  minuman  salah  seorang  di  antara  kamu,  celuplah  dan  kemudian  buanglah  ia  kerana  pada  sebelah  sayapnya  mengandungi  penawar  dan  di  sebelah  sayapnya  yang  lain  mempunyai  penyakit.  (Hadis  riwayat  Bukhari,  Imam  Ahmad,  Abu  Daud  dan  Ibnu  Majah).
Sebagai  contoh,  lalat  merupakan  punca  utama  demam  kepialu  kepada  tentera-tentera  Amerika  semasa  berperang  dengan  Sepanyol  pada  tahun  1898.  Maka  kita  akan  bertanya,  di  mana  logik  akal  yang  dikatakan  oleh  Rasulullah  S.A.W.  bahawa  lalat  sebagai  penawar  kepada  sesuatu  penyakit.  Pada  tahun  1927  dan  1938,  kajian  mendapati  terdapat  sejenis  kuman  bernama  Bacteriophage  dalam  badan  lalat  dari  spesies  Musca  Domestica  yang  mampu  membunuh  kuman-kuman  penyebab  kepada  penyakit  cirit-birit  dan  demam  kepialu.  Nah!  Rasulullah  S.A.W.  dalam  hadis  ini  menyebutkan  berkenaan  rahsia  lalat  dalam  konteks  perubatan  dan  ahli-ahli  sains  membuktikan  kebenarannya  pada  hari  ini.
Konklusinya,  kita  haruslah  sentiasa  berfikir  secara  positif  terhadap  sesuatu  kejadian  di  muka  bumi  ini.  Fikirkanlah  hikmah-hikmah  yang  tersembunyi  di  sebalik  ciptaan  Allah,  dari  sekecil-kecil  lalat  hinggalah  sebesar-besar  gajah.
Wallahua’lam.
Sebuah  video  yang  patut  dilihat  untuk  mengetahui  hikmah  yang  tersembunyi  daripada  satu  ciptaan  Allah  iaitu  lalat.

Sunday 4 September 2011

KEBESARAN ALLAH BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

Jika  manusia  sentiasa  berfikir  akan  kekuasaan  dan  kebesaran  Allah  menciptakan  alam  semesta  ini.  Tiada  pencipta  melainkan  Allah  yang  maha  besar  dan  maha  kuasa.  Bayangkan  betapa  indah  dan  uniknya  setiap  ciptaan  dan  kejadian  yang  dijadikan  oleh  Allah.  Renungkan  dan  fikirkan  hikmah-hikmah  yang  tersembunyi  di  sebalik  sesuatu  kejadian.

Saturday 3 September 2011

PEMAHAMAN AURAT BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

Jika  setiap  muslim  menutup  auratnya  dengan  sempurna.  Masalah  pemahaman  muslimah  dalam  bab  menutup  aurat  dilihat  sangat  kritikal  dan  memerlukan  bimbingan  yang  sempurna.  Kebanyakan  wanita  menganggap  sudah  sempurna  aurat  seseorang  jika  dia  menutup  semua  bahagian-bahagian  aurat  dengan  sesuatu  lapisan.  Sebagai  contoh,  menutup  aurat  tapi  pakaiannya  ketat,  menutup  aurat  tapi  pakaiannya  jarang,  menutup  aurat  tapi  tudungnya  singkat  yang  tidak  menutupi  bahagian  payu  daranya  dan  lain-lain  lagi.  Berikut  adalah  tip  menutup  aurat  yang  dipetik  daripada  majalah  SOLUSI  isu  26.
Menurut  aurat  adalah  perintah  daripada  Allah  S.W.T.  Anjuran  ini  hakikatnya  turut  melibatkan  lelaki,  namun  perintahnya  amat  kritikal  ditekankan  kepada  wanita  memandangkan  lebih  ramai  wanita  yang  tidak  menutup  aurat  berbanding  lelaki.  Tambahan  pula  fitnah  wanita  itu  lebih  besar.  Di  bawah  disertakan  beberapa  kaedah  praktikal  menjadi  muslimah  yang  prihatin  dengan  penampilannya  di  hadapan  ajnabi:
§  TAHU-Langkah  pertama  ialah  ilmu.  Penting  bagi  muslimah  mengetahui  batasan  aurat,  ciri-ciri  pakaian  yang  menutup  aurat,  siapa  mahram  dan  siapa  ajnabi,  hukum–hakam  berkenaan  aurat  dan  sebagainya.
§  SEDAR-Bahawa  tuntutan  syariah  ini  amat  perlu  dan  penting  untuk  dilaksanakan  sesempurna  mungkin.  Jangan  sambil  lewa  dan  acuh  tak  acuh.  Soal  halal  haram  adalah  perkara  besar.
§  SYIAR-Setiap  agama  ada  imejnya.  Imej  wanita  Islam  dapat  dikenali  melalui  ciri-ciri  pakaian  yang  menutup  aurat.
§  FUNGSI  CERMIN-Sebelum  melangkah  keluar  rumah  dengan  yakin,  tanyalah  cermin,  “Wahai  cermin,  adakah  hari  ini aku  berpakaian  menutup  aurat?”.  Jawapannya  perlu  dijawab  berdasarkan  ciri-ciri  pakaian  patuh  syariah.
§  ASINGKAN-Bahagikan  pakaian  kepada  dua  kriteria;  sesuai  atau  tidak  sesuai  dipakai  di  hadapan  ajnabi.  Pakaian  yang  seksi  misalnya  masih  boleh  dipakai  tetapi  hanya  apabila  bersendirian  di dalam  bilik  atau  di  hadapan  suami.
§  MALU-Wanita  yang  tidak  biasa  mendedahkan  aurat  di  hadapan  lelaki  ajnabi  akan  berasa  malu,  takut,  gelisah  dan  sebagainya  walau  sekadar  bermimpi  tidak  bertudung.
§  SOLEHAH-Bersahabat  dengan  wanita  yang  solehah  boleh  menguatkan  pendirian  dan  langkah  seseorang  wanita  yang  ingin  berusaha  mengubah  penampilan  kepada  penampilan  yang  patuh  kepada  syariah.
§  EKSKLUSIF-Semua  wanita  itu  cantik.  Jika  tidak  manakan  mungkin  wanita  menjadi  senjata  iblis  untuk  melemahkan  kaum  lelaki.  Namun  kecantikan  dan  keindahan  tersebut  Allah  kurniakan  sebagai  milik  eksklusif  wanita  itu  dan  suaminya  sahaja.  Oleh  sebab  itu,  usah  dipertontonkan  aurat  dan  perhiasan  kepada  umum  secara  percuma,  jika  suami  pun  perlu  membayar  mahar  untuk  memilikinya.
§  BANYAK  MANFAAT-Wanita  yang  menutup  aurat  hakikatnya  akan  melangkah  keluar  rumah  dengan  lebih  yakin  dan  selamat.  Mereka  tidak  perlu  risaukan  mata  liar  yang  memandang,  tidak  perlu  ambil  kisah  gaya  rambut  dan  tidak  perlu  berhabis  duit  untuk  pelbagai  aksesori.
Firman  Allah  S.W.T.  :
  Maksudnya:  Dan  katakanlah  kepada  perempuan-perempuan  yang  beriman  supaya  menyekat  pandangan  mereka  (daripada  memandang  yang  haram)  dan  memelihara  kehormatan  mereka  dan  janganlah  mereka  memperlihatkan  perhiasan  tubuh  mereka  kecuali  yang  zahir  daripadanya;  dan  hendaklah  mereka  menutup  belahan  leher bajunya  dengan  tudung  kepala  mereka;  dan  janganlah  mereka  memperlihatkan  perhiasan  tubuh  mereka  melainkan  kepada  suami  mereka  atau  bapa  mereka  atau  bapa  mertua  mereka  atau  anak-anak  mereka,  atau  anak-anak  tiri  mereka  atau  saudara-saudara  mereka  atau  anak  bagi  saudara-saudara  mereka  yang  lelaki  atau  anak  bagi  saudara-saudara  mereka  yang  perempuan,  atau  perempuan-perempuan  Islam  atau  hamba-hamba  mereka  atau  orang  gaji  dari  orang-orang  lelaki  yang  telah  tua  dan  tidak  berkeinginan  kepada  perempuan  atau  kanak-kanak  yang  belum  mengerti  lagi  tentang  aurat  perempuan  dan  janganlah  mereka  menghentakkan  kaki  untuk  diketahui  orang  akan  apa  yang  tersembunyi  dari  perhiasan  mereka  dan  bertaubatlah  kamu  sekalian  kepada  Allah,  wahai  orang-orang  yang  beriman,  supaya  kamu  berjaya  (An-Nur,24:31).
Nah!  Betapa  teliti,  sempurna,  lengkap  dan  indahnya  syariat  yang  telah  ditetapkan  oleh  Allah.  Sesungguhnya  setiap  perintah  Allah  yang  tersurat  dalam  Al-Quran  tersirat  dan  terselitnya  berjutaan  hikmah  serta  kebaikan. 
Wallahua’lam.  
Satu  video  yang  mesti  dilihat  dan  diambil  pengajaran...

Wednesday 31 August 2011

ISTIQAMAH BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

 Jika  semua  amalan  yang  dilakukan  pada  bulan  Ramadhan  diteruskan  sepanjang  tahun  dalam  kehidupan  kita  seharian.  Fikirkan  betapa  indahnya  ajaran  yang  dibawa  oleh  Rasulullah  S.A.W.  kepada  umat  manusia.  Kita  disuruh  menahan  lapar  dan  dahaga  dari  terbit  fajar  hingga  terbenamnya  matahari  ketika  berpuasa.  Cuba  kita  amalkan  ibadat  ini  secara  berterusan  di  hari-hari  yang  disunatkan  berpuasa  seperti  puasa  enam  hari  dalam  bulan  Syawal  dan  puasa sunat  pada  hari  isnin  serta  khamis.  Nescaya  hati  kita  akan  sentiasa  mengingati  dan  merasai  penderitaan  kehidupan  orang-orang  yang  kurang  bernasib  baik  selama  ini  seterusnya  kita  akan  sentiasa  bermuhasabah  diri  dan  bersyukur.  Ibadat  puasa  juga  menginsafkan  diri  kita  bahawa  kita  sebagai   hamba  mestilah  sentiasa  beribadat  untuk  menghampirkan  diri  dan  mengharapkan  limpah  kurnia  daripada  Allah  S.W.T.  Antara  fadhilat-fadhilat  lain  berpuasa  ialah:
o   Meningkatkan  kesihatan  rohani  dan  jasmani.  Bayangkan  jika  setiap  manusia  berpuasa,  maka  kuranglah  penyakit-penyakit  kronik  seperti  obesiti  dan  penyakit  jantung.  Renungkan  sabda  Nabi  Muhammad  S.A.W.  ini,  ”perut  besar  itu  adalah  sarang  penyakit  dan  banyak  makan  itu  punca  segala  penyakit”. 
o   Mendidik  nafsu  amarah  yang  lebih  banyak  mengajak  kepada  keburukan  agar  berubah  menjadi  nafsu  lawwamah  (sedar  telah  melakukan  dosa,  tetapi  masih  melakukannya)  dan  seterusnya  meningkat kepada  nafsu  mutmainnah  yakni  nafsu  yang  tenang  tenteram  (bersedia  menjunjung  perintah  Allah  S.W.T.).
o   Beroleh  kecerdasan  akal  dan  fikiran  seperti  disebut  dalam  satu  riwayat  maksudnya:  “orang  yang  lapar  perutnya  itu tajamlah  fikirannya  dan  teranglah  hatinya”.
o   Membersihkan  diri  daripada  sifat-sifat  mazmumah  seperti  tamak,  sombong,riak  dan  ujub.
o   mengharungi  Mendidik  jiwa  supaya  bersifat  sabar,  tahan  menanggung  kesusahan  dan  pelbagai  dugaan  dalam  kehidupan  ini.

Amalan  bersedekah  pula  jika  sentiasa  dilakukan,  nescaya  akan  memupuk  sikap  pemurah  dan  penyayang  dalam  diri.  Janganlah  kita  berfikiran  sempit  dengan  mengatakan  bahawa  bersedekah  itu  hanya  digalakkan  pada  bulan  Ramadhan  sahaja.  Fikirkanlah  bahawa  orang  yang  dalam  kesusahan  sentiasa  ada  pada  bila-bila  masa.  Hadis  daripada  Abu  Hurairah  ra,  katanya, Aku  dengar  Rasulullah  S.A.W.  bersabda:  “Jangan  kamu  tolak  orang  yang  meminta  walaupun  dia  kafir.”  Kata  seoran  sahabat:  “Ya  Rasulullah!  Bahawa  kami  bersedekah  dengan  sesuatu  dari  harta  kami  kepada  orang  kafir”.  Jawab  baginda  S.A.W.:  Bahawa  mereka  adalah  makhluk  Allah,  sebenarnya  sedekah  itu  jatuh  pada  tangan  kudrat  Allah  yang  rahman”.  Antara  kelebihan-kelebihan  lain  bersedekah  ialah:    Kata  ulama’  sedekah  itu  ada  10  kepujian,  iaitu  lima  di  dunia  dan  lima  di  akhirat.