Wednesday 31 August 2011

ISTIQAMAH BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

 Jika  semua  amalan  yang  dilakukan  pada  bulan  Ramadhan  diteruskan  sepanjang  tahun  dalam  kehidupan  kita  seharian.  Fikirkan  betapa  indahnya  ajaran  yang  dibawa  oleh  Rasulullah  S.A.W.  kepada  umat  manusia.  Kita  disuruh  menahan  lapar  dan  dahaga  dari  terbit  fajar  hingga  terbenamnya  matahari  ketika  berpuasa.  Cuba  kita  amalkan  ibadat  ini  secara  berterusan  di  hari-hari  yang  disunatkan  berpuasa  seperti  puasa  enam  hari  dalam  bulan  Syawal  dan  puasa sunat  pada  hari  isnin  serta  khamis.  Nescaya  hati  kita  akan  sentiasa  mengingati  dan  merasai  penderitaan  kehidupan  orang-orang  yang  kurang  bernasib  baik  selama  ini  seterusnya  kita  akan  sentiasa  bermuhasabah  diri  dan  bersyukur.  Ibadat  puasa  juga  menginsafkan  diri  kita  bahawa  kita  sebagai   hamba  mestilah  sentiasa  beribadat  untuk  menghampirkan  diri  dan  mengharapkan  limpah  kurnia  daripada  Allah  S.W.T.  Antara  fadhilat-fadhilat  lain  berpuasa  ialah:
o   Meningkatkan  kesihatan  rohani  dan  jasmani.  Bayangkan  jika  setiap  manusia  berpuasa,  maka  kuranglah  penyakit-penyakit  kronik  seperti  obesiti  dan  penyakit  jantung.  Renungkan  sabda  Nabi  Muhammad  S.A.W.  ini,  ”perut  besar  itu  adalah  sarang  penyakit  dan  banyak  makan  itu  punca  segala  penyakit”. 
o   Mendidik  nafsu  amarah  yang  lebih  banyak  mengajak  kepada  keburukan  agar  berubah  menjadi  nafsu  lawwamah  (sedar  telah  melakukan  dosa,  tetapi  masih  melakukannya)  dan  seterusnya  meningkat kepada  nafsu  mutmainnah  yakni  nafsu  yang  tenang  tenteram  (bersedia  menjunjung  perintah  Allah  S.W.T.).
o   Beroleh  kecerdasan  akal  dan  fikiran  seperti  disebut  dalam  satu  riwayat  maksudnya:  “orang  yang  lapar  perutnya  itu tajamlah  fikirannya  dan  teranglah  hatinya”.
o   Membersihkan  diri  daripada  sifat-sifat  mazmumah  seperti  tamak,  sombong,riak  dan  ujub.
o   mengharungi  Mendidik  jiwa  supaya  bersifat  sabar,  tahan  menanggung  kesusahan  dan  pelbagai  dugaan  dalam  kehidupan  ini.

Amalan  bersedekah  pula  jika  sentiasa  dilakukan,  nescaya  akan  memupuk  sikap  pemurah  dan  penyayang  dalam  diri.  Janganlah  kita  berfikiran  sempit  dengan  mengatakan  bahawa  bersedekah  itu  hanya  digalakkan  pada  bulan  Ramadhan  sahaja.  Fikirkanlah  bahawa  orang  yang  dalam  kesusahan  sentiasa  ada  pada  bila-bila  masa.  Hadis  daripada  Abu  Hurairah  ra,  katanya, Aku  dengar  Rasulullah  S.A.W.  bersabda:  “Jangan  kamu  tolak  orang  yang  meminta  walaupun  dia  kafir.”  Kata  seoran  sahabat:  “Ya  Rasulullah!  Bahawa  kami  bersedekah  dengan  sesuatu  dari  harta  kami  kepada  orang  kafir”.  Jawab  baginda  S.A.W.:  Bahawa  mereka  adalah  makhluk  Allah,  sebenarnya  sedekah  itu  jatuh  pada  tangan  kudrat  Allah  yang  rahman”.  Antara  kelebihan-kelebihan  lain  bersedekah  ialah:    Kata  ulama’  sedekah  itu  ada  10  kepujian,  iaitu  lima  di  dunia  dan  lima  di  akhirat.

Tuesday 30 August 2011

SATU SYAWAL BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

Jika  amalan-amalan  yang  sentiasa  dilakukan  oleh  Rasulullah  S.A.W.  pada  satu  Syawal  dipraktikkan  oleh  setiap  muslim  di  abad  moden  ini.  Bukan  pula  aktiviti-aktiviti  yang  dilakukan  oleh  sesetengah  masyarakat  kini  seperti  rumah  terbuka.  Tidaklah  salah  melakukan  rumah  terbuka  jika  ia  tidak  melanggar  syarak-syarak  yang  digariskan  oleh  Islam.  Lihatlah  pada  hari  ini,  setiap  rumah  terbuka  kebanyakannya  tidak  dapat  dipisahkan  dengan  nyanyian-nyanyian  yang  melalaikan.  Bak  kata  pepatah,  bagai  isi  dan  kuku.  Konsert  nyanyian  yang  telah  dicampur  dengan  perkara-perkara  haram  seperti  nyanyian-nyanyian  oleh  golongan  wanita  dalam  keadaan  mendedahkan  aurat  di  hadapan  golongan  lelaki  ajnabi  atau  bukan  mahram  disertai  suara  merdu  yang  dapat  melonjakkan  nafsu  syahwat  lelaki.  Tambahan  pula,  percampuran  dan  pergaulan  bebas  antara  lelaki  dan  perempuan  berleluasa  ketika  majlis  tersebut  berlangsung.
Dalam  amalan  kehidupan  masyarakat  Islam  di  zaman  Rasulullah  S.A.W.,  konsep  kunjung  mengunjung  sudah  lama  dipupuk  oleh  baginda  S.A.W..  Rasulullah  S.A.W.  akan  mengunjungi  rumah-rumah  sahabat  dan  kenalan  selepas  baginda  selesai  mengerjakan  solat  sunat  Aidilfitri.  Baginda  juga  tidak  lupa  untuk  memakai  pakaian  bersih  dan  baru  untuk  menyambut  hari  kemenangan  masyarakat  Islam  yang  berpuasa  sepanjang  Ramadhan.  Bayangkan  masyarakat  menjadikan  sunnah  ini  sebagai  amalan,  nescaya  bertambah  eratlah  tali  persaudaraan  dan  ukhuwah  yang  terbina  antara  mereka. 
Antara  adab  ketika  berziarah  ialah:
ü  Memilih  masa  yang  sesuai 
ü  Percakapan  tidak  menyakiti  hati  tuan  rumah
ü  Tidak  berbual  terlalu  lama  hingga  mengganggu  masa  tuan  rumah
ü  Tidak  meninggikan  suara  sehingga  mengganggu  ahli  rumah  lain
ü  Tidak  merungut  disebabkan  kekurangan  yang  tidak  mampu  disediakan  oleh  tuan  rumah
ü  Sentiasa  menjaga rahsia  (jika  ada)  sama  ada  yang  berkaitan  dengan  diri  tuan  rumah,  rumah  atau  ahli  rumah  yang  lain

Sunday 28 August 2011

RASULULLAH S.A.W. BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

Jika  Rasulullah  masih  bersama  kita  di  abad  moden  ini.  Adakah  kita  sebagai  umat  baginda  akan  mengucapkan  berbagai-bagai  ucapan  kerinduan  yang  indah  kepada  baginda?  "Ya,  sudah semestinya!"  Mungkin  inilah  jawapan  yang  akan  keluar  daripada  mulut  setiap  muslim  apabila ditanya  soalan  tersebut.  Tapi...Adakah  tidak  akan  timbul  sedikit  pun  rasa  bersalah  dan  malu  kepada  baginda  kerana  tidak  pernah  atau  jarang-jarang  sekali  kita  mengamalkan  sunnah  dan  ajaran  baginda?  Adakah  kita  sering  mencorakkan  kehidupan  kita  dengan  sifat-sifat  keperibadian  baginda  dan menjadikan  baginda  sebagai  role  model  selama  ini?  Adakah  kita  menjadikan  Al-Quran  dan  As-Sunnah  sebagai  sumber  utama  untuk  dijadikan  panduan?  Berbagai-bagai  persoalan  akan  timbul  akibat  daripada  diri  kita  sendiri.

Bayangkan  betapa  indahnya  jika  setiap  muslim  mengamalkan  dan  mencontohi  akhlak  Nabi  Muhammad  S.A.W.  Nescaya  akan  aman  dan  harmonilah  kehidupan  di  dunia  ini.

Seperti firman Allah SWT di dalam al Quran yang merupakan sumber panduan kehidupan kita:
1-Sesungguhnya  telah  ada  pada  (diri)  Rasulullah  itu  suri  teladan  yang  baik  bagimu  (iaitu)  bagi  orang  yang  mengharap  (rahmat)  Allah  dan  (kedatangan)  hari  kiamat  dan  dia  banyak  menyebut  Allah.  ( Al-Ahzab : 21 ).
2-Dan  tiadalah  Kami  mengutuskan  kamu,  melainkan  untuk  menjadi  rahmat  bagi  sekalian  alam.  (Al Anbiya': 107).
3-Dan  bahawa  sesungguhnya  engkau  mempunyai  akhlak  yang  sangat-sangat  mulia. (Al-Qalam: 4).
Oleh  itu,  Rasulullah  S.A.W.  merupakan  contoh  dan  idola  terbaik  dari  generasi  dahulu  hinggalah  generasi  sekarang.  Peranan  ibu  bapa  dalam  sesebuah  institusi  kekeluargaan  amatlah  penting.  Ibu  bapa  adalah  insan  yang  paling  hampir  kepada  anak-anak  dan  mestilah  menjadikan  As-Sunnah  sebagai  realiti  dalam  kehidupan.  Anak-anak  semasa  kecil  mudah  mengikut  apa-apa  yang  dilihat  dan  mereka  boleh  diibaratkan  sebagai  kain  putih  bersih  yang  mesti  dicorakkan  dengan  warna-warna  yang  positif.  Bak  kata  pepatah,  melentur  rebung  biarlah  daripada  rebungnya.  Maka,  anak-anak  dapat  dilahirkan  melalui  konsep  role  model  keperibadian  Rasulullah  S.A.W.  dan  seterusnya  lahirlah  keluarga  Islam  yang  sempurna.
Segalanya  bermula  dari  diri  kita  sendiri  dan  tarbiyah  bermula  dari  hati  kita.  Mari  kita  laksanakan  sedaya  upaya  keperibadian  Rasulullah  S.A.W.  untuk diterapkan  dalam  diri  kita  untuk  dijadikan  contoh  kepada masyarakat  kita  yang  kini  dahagakan  serta  tercari-cari  role model  yang  boleh  dilihat  secara  langsung.
Satu  video  yang  menyentuh  perasaan  dan  bermanfaat  untuk  ditonton..  Sama-samalah  kita  renungkan  dan  bermuhasabah.  Insyaallah...