Monday 12 September 2011

IKHLAS BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... ALANGKAH INDAHNYA...

Jika setiap muslim mentaati Allah dan Rasul melebihi segala-galanya. Bayangkan jika setiap muslim sentiasa bertawa kepada Allah, nescaya kemungkaran dan kejahatan di dunia ini tidak akan wujud sama sekali dalam kalangan umat Islam. Muslim yang bertakwa akan sentiasa menjaga perilakunya setiap masa.

ISLAM yang menjadi pegangan pada dasarnya mengungkap makna kepatuhan dan ketundukan secara menyeluruh kepada Allah. Justeru, Islam dalam kerangka pengertian itu tidak akan dapat dicapai tanpa dimulai sifat keikhlasan iaitu penyerahan diri sepenuhnya ke hadrat Ilahi. 

Firman Allah bermaksud: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah, ayat 5) 

Sifat ikhlas antara sifat terpuji menghiasi peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah dan keikhlasan menjadi asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan itu diterima-Nya ataupun sebaliknya. Keikhlasan menjadi penentu kejayaan atau kebahagiaan Muslim di dunia dan akhirat.

Jika diteliti rangkaian ayat suci al-Quran, keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi Muslim bertakwa. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 2) 

Menurut ulama, ikhlas bermaksud safa' iaitu suci bersih lagi bening. Safa' al-qalb iaitu suci dan bersih hatinya kerana orang yang ikhlas adalah seorang yang amat bersih lagi suci hatinya. 

Imam al-Ghazali menegaskan, ikhlas itu niat yang benar ketika melaksanakan sesuatu amalan. Setiap amalan salih dan kebajikan yang hendak dilakukan sewajibnya berorientasikan kerana Allah. 

Tanpa keikhlasan, semua amalan kebajikan dilakukan amat mudah terkena penyakit hati yang berbahaya iaitu riak dan ujub. Seorang yang ikhlas sebenarnya adalah insan dilindungi Allah daripada penyakit hati itu. 

Sehubungan itu, Rasulullah ada memberi peringatan kepada umat Islam supaya menjauhi perkara yang boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah seperti riak, ujub dan sombong hinggakan pada satu ketika Rasulullah menganggap riak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.
 



No comments:

Post a Comment