Jika semua amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan diteruskan sepanjang tahun dalam kehidupan kita seharian. Fikirkan betapa indahnya ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. kepada umat manusia. Kita disuruh menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari ketika berpuasa. Cuba kita amalkan ibadat ini secara berterusan di hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa enam hari dalam bulan Syawal dan puasa sunat pada hari isnin serta khamis. Nescaya hati kita akan sentiasa mengingati dan merasai penderitaan kehidupan orang-orang yang kurang bernasib baik selama ini seterusnya kita akan sentiasa bermuhasabah diri dan bersyukur. Ibadat puasa juga menginsafkan diri kita bahawa kita sebagai hamba mestilah sentiasa beribadat untuk menghampirkan diri dan mengharapkan limpah kurnia daripada Allah S.W.T. Antara fadhilat-fadhilat lain berpuasa ialah:
o Meningkatkan kesihatan rohani dan jasmani. Bayangkan jika setiap manusia berpuasa, maka kuranglah penyakit-penyakit kronik seperti obesiti dan penyakit jantung. Renungkan sabda Nabi Muhammad S.A.W. ini, ”perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit”.
o Mendidik nafsu amarah yang lebih banyak mengajak kepada keburukan agar berubah menjadi nafsu lawwamah (sedar telah melakukan dosa, tetapi masih melakukannya) dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram (bersedia menjunjung perintah Allah S.W.T.).
o Beroleh kecerdasan akal dan fikiran seperti disebut dalam satu riwayat maksudnya: “orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya”.
o Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah seperti tamak, sombong,riak dan ujub.
o mengharungi Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai dugaan dalam kehidupan ini.
Amalan bersedekah pula jika sentiasa dilakukan, nescaya akan memupuk sikap pemurah dan penyayang dalam diri. Janganlah kita berfikiran sempit dengan mengatakan bahawa bersedekah itu hanya digalakkan pada bulan Ramadhan sahaja. Fikirkanlah bahawa orang yang dalam kesusahan sentiasa ada pada bila-bila masa. Hadis daripada Abu Hurairah ra, katanya, Aku dengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Jangan kamu tolak orang yang meminta walaupun dia kafir.” Kata seoran sahabat: “Ya Rasulullah! Bahawa kami bersedekah dengan sesuatu dari harta kami kepada orang kafir”. Jawab baginda S.A.W.: Bahawa mereka adalah makhluk Allah, sebenarnya sedekah itu jatuh pada tangan kudrat Allah yang rahman”. Antara kelebihan-kelebihan lain bersedekah ialah: